goyang duma

RUMUSAN

RUMUSAN [ 30 MARKAH ]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menangani masalah buli dan kesan-kesan yang dialami oleh mangsa buli apabila masalah ini berlarutan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
            Kes buli yang semakin menular di sekolah menunjukkan berlakunya kepincangan dalam sistem pendidikan di sekolah pada masa ini sekiranya masalah tersebut tidak diatasi dengan segera. Perbuatan membuli bertujuan supaya individu lain mematuhi dan menghormati mereka. Pembuli lebih suka teman-teman persekitaran mengikut kehendak mereka bagai lembu dicucuk hidung. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran juga digesa supaya mewujudkan dasar antibuli di sekolah-sekolah bagi mengawal gejala buli dalam kalangan pelajar. Kawalan tersebut perlu ditekankan kepada pelajar lelaki terutama semasa mereka berada di Tahun Enam. Selain itu, pihak sekolah juga harus melaksanakan sendiri tinjauan terhadap kejadian buli di sekolah masing-masing.
            Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu buli secara langsung dan secara tidak langsung. Buli secara langsung termasuklah dibuli, diugut, disepak atau membalas pukulan. Buli jenis ini disebut sebagai buli fizikal. Buli secara tidak langsung pula lebih dikenali sebagai buli psikologi, iaitu melibatkan kata-kata seperti memanggil atau mengejek-ejek individu dengan nama tertentu, dikacau, ditertawakan rakan lain atau menyebarkan gosip liar terhadap seseorang. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelajar menjadi pembuli, iaitu pengaruh rakan sebaya dan saiz tubuh yang besar dan tegap. Selain itu, dapatan kajian turut menunjukkan pelajar membuli kerana berasa dirinya tidak selamat jika tidak berbuat sesuatu yang boleh melindungi dirinya daripada perkara yang tidak diingini.
            Kejadian buli tidak harus dipandang ringan. Penglibatan ibu bapa dalam menangani masalah buli di sekolah ini menjadi penting. Ibu bapa perlu berbincang dengan guru sekiranya anak-anak mereka bertukar sikap, menjadi pendiam, atau kurang selera makan. Hal ini demikian kerana tidak semua pelajar yang menjadi mangsa mahu melaporkan masalahnya kepada pihak sekolah. Sekolah perlu menggalakkan murid yang menjadi mangsa buli melaporkan kejadian tersebut kepada guru, terutamanya guru disiplin dan guru kaunselor. Pada masa ini, kebanyakan sekolah tidak mempunyai dasar menggalakkan murid-murid melaporkan kejadian buli. Oleh itu, sekolah juga disarankan supaya mewujudkan satu bentuk perjanjian dengan murid yang membolehkan pihak sekolah mengenakan tindakan terhadap murid yang terlibat dengan tingkah laku buli.
            Bagaimanapun, ada kemungkinan mangsa berasa takut membuat laporan kepada guru kerana bimbang akan dikenakan tindakan lebih keras daripada pembuli. Sehubungan dnegan itu, pihak sekolah boleh menyediakan “Kotak Aduan" bagi membolehkan kes buli dilaporkan secara rahsia oleh mangsa buli. Penekanan kepada program antibuli juga perlu diterapkan di dalam kelas yang merupakan tempat yang paling banyak berlakunya kes buli. Program individu perlu diwujudkan dengan cara kaunselor memanggil pembuli dan mangsa untuk diberikan kaunseling secara berasingan atau memanggil ibu bapa pelajar terbabit. Pada masa ini, terdapat satu laman web yang boleh dilayari oleh pelajar dan guru bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi pengalaman tentang buli, iaitu www.bullying.org. Pihak sekolah juga boleh menubuhkan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan tentang kejadian buli di dalam kelas atau di kawasan sekolah.

                                                                             (Dipetik dan diubahsuai daripada rencana    Haji Samat b.Buang, Majalah Dewan Siswa, 2005)


PEMAHAMAN [9 MARKAH]

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat sendiri.

(i)  Berikan maksud rangkai kata bagai lembu dicucuk hidung. [2 markah]
(ii) Apakah yang menyebabkan seseorang pelajar menjadi pembuli? [3 markah]
(iii) Nyatakan peranan anda sebagai seorang sahabat sekiranya rakan baik anda seorang   pembuli. [4 markah]






Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]

Baca petikan brikut dengan teliti kemudian  buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk memartabatkan batik Malaysia serta kekangan untuk melaksanakannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Seni batik merupakan merupakan salah satu akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia dan bidang kraf tangan yang unggul di Malaysia.  Sejak dulu lagi, fungsi batik tidak pernah berubah sebagai busana kaum Hawa. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri telah berusaha menghidupkan seni batik ini semula dengan mengarahkan kakitangan awam memakai baju batik pada setiap hari Khamis. Arahan pemakaian batik selaras dengan usaha kerajaan menyokong usaha untuk mengembangkan industri batik di negara ini, sekali gus mempopularkan semula pakaian yang semakin dilupakan itu.  Sesungguhnya, langkah mewajibkan pemakaian batik telah memberi nafas  baru kepada perkembangan industri batik negara untuk terus berkembang maju.
            Industri batik kini semakin berkembang pesat dan generasi Malaysia telah mula mencintai batik. Golongan remaja juga sudah tidak berasa segan mengenakan batik dengan gaya kasual. Selain itu, batik juga telah mendapat penghargaan sebagai budaya seni yang begitu tinggi nilainya dan boleh dijadikan cenderamata kepada sesiapa sahaja sama ada di dalam mahupun di luar negara. Kita harus berterima kasih kepada Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang telah mengilhamkan serta melancarkan Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia. Sejak dilancarkan, program tersebut telah mendapat sambutan hebat, walaupun pada mulanya hanya bertujuan untuk menimbulkan kesedaran orang ramai untuk mempertahankan seni batik. Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Budi Penyayang Malaysia telah berusaha mengadakan Minggu Batik Malaysia  2005 bertujuan untuk berkongsi kegemilangan dan keistimewaan batik Malaysia bersama-sama masyarakat tempatan dan dunia.
            Buat julung-julung kalinya juga, Konvensyen  Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 2005  telah diadakan di negara ini.  Konvensyen tersebut telah  menampilkan 14 orang pembentang kertas kerja dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Indonesia, Jepun dan Australia  telah menyentuh pelbagai aspek perkembangan batik seperti sejarah batik, rekaan batik, pemasaran batik serta kejayaan industri itu.  Perdana Menteri juga telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi komitmen dalam menggerakkan industri batik negara. Komitmen kerajaan ini disebabkan industri batik berpotensi menarik kedatangan pelancong ke Malaysia sekali gus menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara. Oleh itu, pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan  Perdagangan Luar Malaysia perlulah bekerja keras untuk mempromosikan batik  agar produk ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong asing.
            Bagi memastikan industri batik terus berkembang, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah berusaha meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) merangkumi pelbagai aspek batik seperti penggunaan kain baru, penggunaan warna asli, ketahanan basuhan dan lain-lain.  Melalui Program Pembangunan Usahawan pula, latihan kemahiran tenaga kerja dilaksanakan  dengan matlamat untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri batik ini. Di samping itu juga, teknologi baru seperti penggunaan mesin dan bantuan komputer untuk menghasilkan batik yang lebih menarik dan berkualiti diperkenalkan. Selain usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan, para pengusaha batik tempatan juga perlu memainkan peranan mereka untuk meningkatkan kemajuan industri batik di negara ini.  Mereka perlu lebih kreatif dalam menghasilkan batik yang lebih menarik dan lebih bermutu  bagi memastikan batik tempatan mampu bersaing dengan batik dari negara-negara lain. Mereka juga  perlulah bersedia untuk melabur untuk meningkatkan pasaran batik ke peringkat global.
            Secara tuntas, apa-apa yang selama ini menjadi identiti bangsa sebagai warisan tradisi yang  wajar dipertahankan terutama yang membabitkan seni budaya tempatan seperti seni batik ini. Sudah tiba masanya seni batik Malaysia yang diusahakan secara turun-temurun, kembali berdaya maju seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini dan terus bertapak di hati generasi demi generasi sebagai khazanah bangsa yang dibanggakan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Memartabatkan Batik Malaysia oleh Haji Samat Buang,  Dewan Siswa, April 2006)

            

Panduan jawapan




Pendahuluan

Markah

Petikan membincangkan cara-cara / strategi-strategi / langkah-langkah / tindakan-tindakan untuk memajukan industri batik di negara ini.

2




Isi tersurat ( 4 – 12 markah )


1
Perdana Menteri mengarahkan kakitangan awam memakai baju batik setiap Khamis
2
2
Allahyarham Datin Seri Endon mengilhamkan dan melancarkan Batik Malaysia Ciptaan Untuk Dunia.       

2
3
NGO mengadakan Minggu Batik Malaysia 2005.
2
4
Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 2005 telah diadakan.
2
5
Kerajaan akan terus memberi komitmen dalam menggerakan industri batik  negara.

2
 6
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia meningkatkan usaha R&D.
2
7
Latihan kemahiran tenaga kerja dilaksanakan melalui Program Pembangunan Usahawan.

2
8
Teknologi baru untuk menghasilkan batik yang lebih menarik dan berkualiti diperkenalkan.

2
9
Pengusaha batik perlu lebih kreatif.  
2
10
Pengusaha batik perlu melabur untuk meningkatkan pasaran batik ke peringkat global.

2




Isi tersirat ( 4 – 12 markah ) 
Kekangan untuk melaksanakannnya.


1
Pengusaha batik kurang mahir/tidak terlatih.           
2
2
Pengusaha batik kurang modal.
2
3
Belia tidak berminat menceburi industri batik.
2
4
Pengusaha masih menggunakan teknik lama dalam menghasilkan batik.
2
5
Masalah pasaran yang terhad.
2
6
Industri batik diusahakan secara kecil-kecilan.
2
7
Persaingan dengan batik tiruan yang lebih murah.
2
8
Persaingan dengan batik luar negara yang lebih berkualiti.
2



No comments: